Pages

Kemanisan Nikmat Dan Ujian (Assignment 2)

                                                        Assalamualaikum wbt...

                                                                             

Sesungguhnya, segala sesuatu di dunia ini hanyalah cubaan dan dugaan bagi seluruh umat manusia. Kesusahan,kemudahan, kemiskinan dan kekayaan, harta dan ilmu, nikmat dan musibah, pada hakikatnya hanyalah ujian yang diberikan oleh Allah SWT kepada para hamba-Nya. Barang siapa yang mampu bersyukur dan bersabar, maka merekalah yang termasuk dalam golongan orang-orang yang beruntung. Namun barang siapa yang kufur serta selalu mengikut hawa nafsu dan emosi semata-mata, maka nescaya merekalah yang tergolong dalam kumpulan orang-orang yang  rugi.
        
Nikmat ,musibah, kesusahan dan kesenangan, tidak lain adalah merupakan antara ujian yang akan terus mewarnai kehidupan manusia. Tidak akan ada satu manusia pun di dunia ini yang terlepas daripada ujian. Justeru, dengan ujian itulah  manusia akan lebih mendekatkan lagi diri mereka dengan Sang Pencipta. Itulah lumrah kehidupan. Tatkala manusia begitu enak menikmati kekayaan dan kemewahan, mereka hampir lupa kepada Allah SWT. Namun, ketika musibah datang menerpa barulah mereka sibuk mencari Allah sebagai tempat untuk mengadu.
Seandainya nikmat itu bukanlah satu bentuk ujian, maka tidak akan ada manusia yang akan bersyukur kepada Allah SWT . Jika musibah bukanlah satu ujian, maka tidak akan ada manusia yang akan membantu manusia yang lain, tidak akan ada manusia yang akan bersabar atas musibah yang menimpanya, dan tidak akan ada manusia yang ingin  beribadah di saat musibah  datang  menimpanya.
Nikmat adalah salah satu bentuk ujian yang akan membawa manusia memperolehi darjat yang lebih tinggi, di dunia dan di akhirat. Malah, nikmat juga merupakan salah satu bentuk ujian Allah swt bagi hamba-Nya yang mana banyak melalaikan mereka dari mengingat i dan mentaati Allah SWT. Nikmat yang telah Allah SWT tebarkan di muka bumi ini telah membuatkan  ramai manusia semakin jauh dan kufur kepada Allah SWT. Mereka lupa bahawa sesungguhnya segala bentuk nikmat yang telah mereka perolehi itu adalah dari Allah SWT. Mereka menganggap, segala yang telah mereka miliki adalah hasil jerih payah mereka sendiri, semata-mata kerana kepandaian mereka sendiri. Dalam hal ini Allah swt telah berfirman di dalam Al Quran, yang bermaksud:
“Dan jika kami melimpahkan kepadanya sesuatu rahmat dari kami, sesudah dia ditimpa kesusahan, pastilah dia berkata ” ini adalah hakku”. (QS. Fushshilat: 50).
“(Qarun) berkata: sesungguhnya aku diberi harta kekayaan ini, tiada lain kerana ilmu yang ada padaku”. (QS. Al Qashash: 78)
 Kedua-dua ayat di atas menerangkan bahawa nikmat Allah SWT itu merupakan satu bentuk ujian yang jika kita tidak dapat mensyukurinya, justeru akan menjerumuskan  diri kita ke dalam  kekufuran. Justeru,  sebagai seorang hamba Allah yang sentiasa mendambakan kasih sayang dariNya, seharusnya kita sentiasa mensyukuri nikmat pemberianNya. Allah SWT telah berfirman di dalam Al-quran yang bermaksud “Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih". (Surah Ibrahim:7)

UJIAN BERBEZA UNTUK MENGUKUR KEIMANAN

Setiap manusia  menghadapi ujian dan dugaan  yang berbeza  dalam hidup mereka. Malah, ujian yang diberikan itu juga adalah untuk mengukur tahap keimanan seseorang hamba. Allah SWT mendatangkan ujian kepada setiap hambaNya  kerana ingin menguji sejauh mana keimanan dan ketaqwaan hamba-hamba  kepadaNya. Hal ini kerana,manusia sering kali alpa dan leka  dengan  kesenangan dan kemewahan yang dikecapinya. Mereka hampir terlupa bahawa kesenangan yang dinikmati itu adalah hanya sementara dan akan ditarik oleh Allah SWT bila-bila-bila masa sahaja.
Disamping itu, setiap ujian yang Allah SWT turunkan kepada hambaNya adalah mengikut kemampuan mereka .Allah SWT tidak akan membebani hambaNya dengan sesuatu ujian yang tidak mampu mereka pikul.Seperti firman Allah SWT  yang bermaksud “ Allah tidak membebani seseorang melainkan  dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan ) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya).( Mereka berdoa): “Ya Tuhan kami ,janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada  orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak kami sanggup memikulnya. Beri maaflah kami, ampunilah kami dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.” (Surah Al-Baqarah :284-286)
GANJARAN PASTI MENANTI
            Rasulullah SAW menyifatkan bahawa ujian yang diberikan  kepada kaum manusia  adalah tanda kecintaan Allah kepada mereka. Dan semakin berat  ujian yang diberikan oleh Allah  kepada manusia, menandakan bahawa besar juga pahala yang diperolehi.

            “Sesungguhnya besarnya ganjaran itu dinilai pada besarnya bala’ yang menimpa. Dan sesungguhnya Allah itu apabila mencintai sesuatu kaum, maka mereka itu akan diberi dugaan. Oleh sebab itu, barangsiapa yang redha dengan ujian yang menimpa, dia akan memperolehi  keredhaan  Allah  dan barangsiapa  yang tidak maka padanya kemurkaan Allah. (Riwayat At-Tirmidzi)

            Justeru, yakinlah bahawa Allah SWT pasti akan mengurniakan ganjaran yang setimpal kepada mereka yang bersabar tatkala ditimpa ujian dan musibah.Malah, setiap ujian dan musibah yang berlaku itu pasti tersingkap seribu satu hikmah yang diatur oleh Allah SWT. Allah SWT juga menguji hambaNya adalah kerana ingin mereka lebih mendekatinya dan meningkatkan amal ibadah kepadaNya.
            Kesimpulannya, bersyukurlah kepada  Allah SWT diatas segala nikmat dan kurniaanNya. Sesungguhnya nikmat dan pemberian Allah itu tidak terhitung nilainya.Bersangka baiklah kepada Allah tatkala ujian dan musibah datang dengan tidak disangka-sangka. Sebagai seorang hamba yang sentiasa mendambakan kasih sayang dariNya, kita mestilah sentiasa berusaha untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepadaNya sebagai tanda terima kasih kita kepadaNya diatas segala nikmat yang telah dikurnIakan kepada kita.


           


No comments:

Post a Comment