Sesungguhnya,
segala sesuatu di dunia ini hanyalah cubaan dan dugaan bagi seluruh umat
manusia. Kesusahan,kemudahan, kemiskinan dan kekayaan, harta dan ilmu, nikmat
dan musibah, pada hakikatnya hanyalah ujian yang diberikan oleh Allah SWT
kepada para hamba-Nya. Barang siapa yang mampu bersyukur dan bersabar, maka
merekalah yang termasuk dalam golongan orang-orang yang beruntung. Namun barang
siapa yang kufur serta selalu mengikut hawa nafsu dan emosi semata-mata, maka
nescaya merekalah yang tergolong dalam kumpulan orang-orang yang rugi.
Nikmat
,musibah, kesusahan dan kesenangan, tidak lain adalah merupakan antara ujian
yang akan terus mewarnai kehidupan manusia. Tidak akan ada satu manusia pun di
dunia ini yang terlepas daripada ujian. Justeru, dengan ujian itulah manusia akan lebih mendekatkan lagi diri
mereka dengan Sang Pencipta. Itulah lumrah kehidupan. Tatkala manusia begitu
enak menikmati kekayaan dan kemewahan, mereka hampir lupa kepada Allah SWT.
Namun, ketika musibah datang menerpa barulah mereka sibuk mencari Allah sebagai
tempat untuk mengadu.
Seandainya
nikmat itu bukanlah satu bentuk ujian, maka tidak akan ada manusia yang akan
bersyukur kepada Allah SWT . Jika musibah bukanlah satu ujian, maka tidak akan
ada manusia yang akan membantu manusia yang lain, tidak akan ada manusia yang
akan bersabar atas musibah yang menimpanya, dan tidak akan ada manusia yang
ingin beribadah di saat musibah datang menimpanya.
Nikmat
adalah salah satu bentuk ujian yang akan membawa manusia memperolehi darjat
yang lebih tinggi, di dunia dan di akhirat. Malah, nikmat juga merupakan salah
satu bentuk ujian Allah swt bagi hamba-Nya yang mana banyak melalaikan mereka
dari mengingat i dan mentaati Allah SWT. Nikmat yang telah Allah SWT tebarkan
di muka bumi ini telah membuatkan ramai
manusia semakin jauh dan kufur kepada Allah SWT. Mereka lupa bahawa
sesungguhnya segala bentuk nikmat yang telah mereka perolehi itu adalah dari
Allah SWT. Mereka menganggap, segala yang telah mereka miliki adalah hasil
jerih payah mereka sendiri, semata-mata kerana kepandaian mereka sendiri. Dalam
hal ini Allah swt telah berfirman di dalam Al Quran, yang bermaksud:
“Dan jika kami
melimpahkan kepadanya sesuatu rahmat dari kami, sesudah dia ditimpa kesusahan,
pastilah dia berkata ” ini adalah hakku”. (QS. Fushshilat: 50).
“(Qarun) berkata:
sesungguhnya aku diberi harta kekayaan ini, tiada lain kerana ilmu yang ada
padaku”.
(QS. Al Qashash: 78)
Kedua-dua ayat di atas menerangkan bahawa
nikmat Allah SWT itu merupakan satu bentuk ujian yang jika kita tidak dapat
mensyukurinya, justeru akan menjerumuskan
diri kita ke dalam kekufuran. Justeru, sebagai seorang hamba Allah yang sentiasa
mendambakan kasih sayang dariNya, seharusnya kita sentiasa mensyukuri nikmat pemberianNya.
Allah SWT telah berfirman di dalam Al-quran yang bermaksud “Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu
memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah
(nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya
azab-Ku sangat pedih". (Surah Ibrahim:7)
UJIAN BERBEZA UNTUK MENGUKUR KEIMANAN
Setiap manusia menghadapi ujian
dan dugaan yang berbeza dalam hidup mereka. Malah, ujian yang
diberikan itu juga adalah untuk mengukur tahap keimanan seseorang hamba. Allah
SWT mendatangkan ujian kepada setiap hambaNya
kerana ingin menguji sejauh mana keimanan dan ketaqwaan hamba-hamba kepadaNya. Hal ini kerana,manusia sering kali
alpa dan leka dengan kesenangan dan kemewahan yang dikecapinya.
Mereka hampir terlupa bahawa kesenangan yang dinikmati itu adalah hanya
sementara dan akan ditarik oleh Allah SWT bila-bila-bila masa sahaja.
Disamping itu, setiap ujian yang Allah SWT turunkan kepada hambaNya
adalah mengikut kemampuan mereka .Allah SWT tidak akan membebani hambaNya
dengan sesuatu ujian yang tidak mampu mereka pikul.Seperti firman Allah
SWT yang bermaksud “ Allah tidak
membebani seseorang melainkan dengan
kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan ) yang diusahakannya dan ia
mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya).( Mereka berdoa): “Ya Tuhan
kami ,janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan
kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau
bebankan kepada orang-orang yang sebelum
kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak kami
sanggup memikulnya. Beri maaflah kami, ampunilah kami dan rahmatilah kami.
Engkaulah penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.” (Surah
Al-Baqarah :284-286)
GANJARAN
PASTI MENANTI
Rasulullah SAW menyifatkan
bahawa ujian yang diberikan kepada kaum
manusia adalah tanda kecintaan Allah
kepada mereka. Dan semakin berat ujian
yang diberikan oleh Allah kepada
manusia, menandakan bahawa besar juga pahala yang diperolehi.
“Sesungguhnya besarnya ganjaran itu
dinilai pada besarnya bala’ yang menimpa. Dan sesungguhnya Allah itu apabila
mencintai sesuatu kaum, maka mereka itu akan diberi dugaan. Oleh sebab itu,
barangsiapa yang redha dengan ujian yang menimpa, dia akan memperolehi keredhaan
Allah dan barangsiapa yang tidak maka padanya kemurkaan Allah.
(Riwayat At-Tirmidzi)
Justeru, yakinlah bahawa Allah SWT
pasti akan mengurniakan ganjaran yang setimpal kepada mereka yang bersabar
tatkala ditimpa ujian dan musibah.Malah, setiap ujian dan musibah yang berlaku
itu pasti tersingkap seribu satu hikmah yang diatur oleh Allah SWT. Allah SWT
juga menguji hambaNya adalah kerana ingin mereka lebih mendekatinya dan
meningkatkan amal ibadah kepadaNya.
Kesimpulannya, bersyukurlah kepada Allah SWT diatas segala nikmat dan
kurniaanNya. Sesungguhnya nikmat dan pemberian Allah itu tidak terhitung
nilainya.Bersangka baiklah kepada Allah tatkala ujian dan musibah datang dengan
tidak disangka-sangka. Sebagai seorang hamba yang sentiasa mendambakan kasih
sayang dariNya, kita mestilah sentiasa berusaha untuk meningkatkan keimanan dan
ketaqwaan kepadaNya sebagai tanda terima kasih kita kepadaNya diatas segala
nikmat yang telah dikurnIakan kepada kita.