Assalamualaikum wbt...
Melaksanakan dakwah adalah satu tuntutan agama. Malah ia juga merupakan tugas yang mulia di sisi Allah SWT.Namun,tidak semua orang berani tampil kehadapan untuk berdakwah kerana bagi mereka terdapat pelbagai rintangan dan dugaan yang perlu dihadapi ketika berdakwah.Malah ia juga merupakan satu tugasan yang amat mencabar untuk dilaksanakan.Firman Allah SWT di dalam Surah At-Taubah ayat 42 yang bermaksud:
"Kalau apa yang engkau
serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah
didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh),
nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang
hendak dituju itu jauh bagi mereka".
Dakwah dari
segi bahasa bererti menyeru atau mengajak kepada sesuatu. Manakala
menurut istilah, dakwah bermakna menggalakkan masyarakat berbuat
kebaikan dan mengikut petunjuk, menyeru mereka membuat kebajikan dan
melarang mereka daripada kemungkaran.
Kepentingan usaha dakwah
sebagai nadi memperkasakan iman dan takwa di kalangan orang Islam
sendiri dan sebagai petunjuk yang membawa orang bukan Islam berminat
terhadap Islam.
Rasulullah melakukan dakwah berterusan
secara ikhlas, bijaksana dan bersungguh-sungguh sehingga berjaya
menjinakkan masyarakat Arab jahiliah di Makkah untuk menghayati Islam.
Sedangkan sebelum itu masyarakat Arab jahiliah begitu berpegang kuat
kepada kepercayaan datuk moyang dan sanggup berbunuh-bunuhan demi
mempertahankan kepercayaan itu.
Kejayaan dakwah Rasulullah
bergantung kepada tiga kaedah yang dilakukan iaitu secara lisan (bil
lisan), tulisan (bil kitabah) dan contoh amal baik (bil hal). Rasulullah
menggunakan kaedah itu mengikut kesesuaian sama ada dengan mana-mana
satu cara atau gabungan ketiga-tiganya.
Kaedah lisan dilakukan apabila Rasulullah menyampaikan dakwah secara berdepan dengan sasaran yang dituju. Kaedah
lisan berkesan kerana ia adalah cara berkomunikasi paling meluas dan
mudah dilakukan. Selain mulut, manusia juga menggunakan bahasa isyarat
dan bahasa badan (gaya dan tindakbalas badan) untuk berkomunikasi,
tetapi agak terbatas.
Seruan dakwah perlu dilakukan secara
komunikasi berkesan, yakni meliputi segenap aspek yang boleh menarik
orang apa yang disampaikan itu. Untuk melahirkan komunikasi berkesan
memerlukan kebijaksanaan pendakwah bagaimana menguasai keadaan.
Dengan
itu amatlah perlu setiap pendakwah mempelajari selok belok teknik atau
metode (uslub) berdakwah. Cara berdakwah ada seninya. Jika berlaku kesilapan pendekatan dalam
berdakwah ia akan menyebabkan golongan sasaran semakin menjauhkan diri.
Hakikatnya,
tugas dakwah perlu dilakukan oleh orang yang mempunyai kefahaman dalam
tugas dakwah. Paling penting orang itu sendiri adalah orang yang
terpimpin peribadi dan ilmunya. Inilah yang dikatakan dakwah bil hal
(dengan amal soleh) seperti yang dilakukan oleh Rasulullah.
Rasulullah
menunjukkan contoh tauladan terbaik dalam kehidupan seharian.
Rasulullah digelarkan al-amin yang bermaksud mempunyai peribadi mulia,
amanah dan disukai semua orang.
Konsep komunikasi berkesan amat
penting diamalkan ketika berdakwah. Komunikasi berkesan bermaksud, seseorang yang memperkatakan sesuatu yang benar; pada masa yang tepat
dan dengan cara yang sesuai untuk didengari dan difahami bagi
menghasilkan tindakbalas yang dihajati.
Firman Allah bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad). Inilah jalanku (agamaku). Aku dan orang
yang mengikutiku, menyeru manusia kepada agama Allah dengan berdasarkan
keterangan dan bukti yang nyata. (Surah Yusof, ayat 108).
Pendakwah
perlu mendalami tugas-tugas berdakwah. Memperkatakan sesuatu yang benar
adalah kejayaan dakwah. Dakwah mengajak ke jalan kebenaran, sudah tentu
bertentangan jika dilakukan dengan perkara-perkara tidak benar.
Menyatakan perkataan benar merupakan satu perintah yang perlu dipatuhi
setiap Muslim.
Firman Allah bermaksud: Hai orang-orang yang
beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan benar.
(Surah al-Ahzab, ayat 70).
Berkata perkataan benar dan tepat
memerlukan kepakaran. Seorang pendakwah perlu bijak dan mahir dalam apa
yang diperkatakan. Bagaimanapun, seseorang tidak dihalang daripada
menyampaikan apa-apa diketahui biarpun sedikit.
Sabda Rasulullah bermaksud: Sampaikanlah daripadaku walaupun hanya satu ayat. (Hadis riwayat Ahmad, Bukhari dan Tirmizi).
Hadis
itu memerintahkan agar setiap Muslim menyebarkan dakwah biarpun hanya
ringkas. Pengetahuan yang sedikit jika ditambah sedikit-sedikit akan
banyak juga akhirnya. Mana tahu,pengetahuan yang sedikit itulah apabila disampaikan kepada orang lain akan memberi manfaat kepada mereka.
Bentuk komunikasi berkesan juga mengambil
kira keberkesanan penerimaan. Pendakwah perlu menilai tahap penerimaan
orang didakwah. Setiap orang mempunyai tahap penerimaan dan kefahaman
berbeza-beza.
Sebab itu pendakwah perlu mengetahui sasaran
dakwah tersebut. Berbicaralah mengikut tahap apa yang mampu diterima
oleh orang ditujukan dakwah itu. Fikirkan apakah yang sepatutnya
disampaikan, bukannya apa yang ingin disampaikan.
Sabda
Rasulullah bermaksud: Berbicaralah kepada manusia menurut kadar akal
(kecerdasan) mereka masing-masing. (Hadis riwayat Muslim).
Seorang
pendakwah adalah contoh kepada orang didakwah. Justeru, apa yang
disebarkan oleh pendakwah perlulah menepati apa yang diamalkan.
Pendakwah yang gagal menunjukkan contoh tauladan tidak akan menghasilkan
tindakbalas yang dihajati. Hal ini tidak menepati konsep komunikasi
berkesan.
Allah amat murka kepada mereka melakukan sesuatu tidak
sama seperti dikatakan. Firman Allah bermaksud: Wahai orang yang
beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya.
Amat besar kebencian di sisi Allah, kamu memperkatakan sesuatu yang kamu
tidak melakukannya. (Surah ash-Shaff, ayat 2-3).
Dakwah
Rasulullah mendapat perhatian dan ikutan para sahabat kerana apa
diperkatakan Baginda terlebih dahulu dilakukannya. Apa yang dilakukan
Rasulullah tidak sedikitpun bertentangan dengan apa yang diucapkan.
Setiap apa diucapkan dan dilakukan Rasulullah merupakan contoh tauladan
yang baik.
Firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 21 bermaksud: Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh
ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan)
Allah dan (balasan baik) hari kiamat, serta dia pula menyebut dan
mengingati Allah selalu.
Pendakwah juga perlu bijak dalam
mengendalikan bantahan ketika berdakwah. Pendakwah tidak boleh terlalu
mendesak. Orang yang didakwah mungkin memerlukan masa yang lama sebelum dapat
menerima hakikat apa yang didakwahkan kepadanya.
Setiap sesi
perbincangan perlu dalam situasi kondusif, harmonis, positif dan saling
menghormati. Ketika perbincangan mesti berpegang kepada adab al-ikhtilaf
(etika perselisihan pendapat) agar yang kusut tidak bertambah kusut.
Bantah
membantah bukan cara terbaik ketika berdakwah. Cara itu akan
menimbulkan suasana tegang dan mungkin berterusan dengan keadaan tidak
diingini. Keadaan itu hendaklah dihentikan segera dan carilah pendektan
lain.
Firman Allah bermaksud: Dan janganlah kamu berdebat dengan
ahli kitab melainkan dengan cara yang baik, kecuali dengan orang zalim
dalam kalangan mereka.(Surah al-Ankabut, ayat 46).
Manakala itu
hadis diriwayatkan Tabrani bermaksud: Tinggalkan perbantahan kerana
perbantahan tidak akan mendatangkan hikmah dan tidak akan mengamankan
daripada fitnah.
Menggunakan perkataan yang baik, berbudi bahasa
dan menghormati pihak yang didakwah adalah satu pendekatan yang baik.
Pendakwah perlu sentisa berlapang dada dan tidak berdendam. biarpun
golongan yang didakwah itu agak biadab dan keras.
Firman Allah
dalam surah Fushshilat ayat 33 memberi panduan bagi mereka ingin
melakukan kerja-kerja dakwah yang bermaksud: Dan siapakah yang lebih
baik perkatannya daripada orang yang menyeru kepada Allah serta
berbaik-baik dan mengaku aku seorang Muslim.
Percakapan
dengan nada keras dan menekan agar orang didakwah menerima secara
bulat-bulat apa diperkatakan adalah antara faktor kegagalan dakwah.
Pendakwah perlu berhemah dan tidak gelojoh menjalankan kerja-kerja
dakwah.
Tugas dakwah secara mutlaknya terletak di atas bahu
setiap Muslim. Tugas ini bukan sekadar menjadi tugas guru agama, ustaz,
imam dan pendakwah sepenuh masa. Islam mementingkan amalan menegakkan
kebenaran dan mencegah kemungkaran.Jadi.marilah kita bersama-sama melaksanakan tugas yang murni ini walaupun di sana terdapat mehnah dan tribulasi yang perlu dihadapi.Tetapi yakinlah bahawa Allah SWT akan memudahkan urusan hamba-hambanya yang ingin melakukan kebakaikan.
Firman Allah bermaksud: Kamu
adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada
kebaikan dan mencegah dari kemungkaran, dan beriman kepada Allah.(Surah Ali Imran, ayat 110).